SEJARAH SUK
- SEJARAH PENTADBIRAN
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
ditubuhkan pada tahun 1948 melalui Perjanjian Perak di antara Sultan Abdul Aziz
Al-Mutasim Billah Shah dengan Sir Gerard Edward J. Gent pada 21 Januari 1948.
Melalui perjanjian ini, satu undang-undang perlembagaan Perak telah dibentuk
pada 1 Februari 1948. Perlembagaan ini menggariskan hak-hak dan kuasa Sultan
serta memperuntukkan satu pentadbiran Kerajaan yang terdiri daripada Majlis
Mesyuarat Kerajaan dan Majlis Mesyuarat Negeri sebagai badan yang
bertanggungjawab untuk membantu dan menasihati Sultan di dalam menjalankan
tugasnya.
Perlembagaan ini memperuntukkan perlantikan
Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, dan Pegawai Kewangan Negeri dengan
kuasa pelantikannya oleh Sultan. Ketiga-tiga ahli ex-officio ini bersama dua
lagi ahli ex-officio yang lain iaitu Penasihat British dan Penasihat
Undang-undang, adalah merupakan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dengan mempunyai
seorang ahli rasmi. Majlis Mesyuarat Negeri pula terdiri daripada Menteri Besar
sebagai Presiden dan empat orang ahli ex-officio iaitu Penasihat British,
Setiausaha Kerajaan Negeri dengan mempunyai 10 orang ahli rasmi dan 19 orang
ahli tidak rasmi.
Menteri Besar Perak yang pertama dilantik
(sebelum Merdeka) ialah Tuan Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz dan
Setiausaha Kerajaan Negeri ialah Che Ahmad bin Osman. Fungsi Pejabat Setiausaha
Kerajaan Perak ialah merancang, menggerak, mengurus, menyelaras, dan mengawal
semua jentera pembangunan ekonomi dan sosial negeri melalui perkhidmatan yang
bersih, cekap, dan amanah. Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak juga menentu dan
menyelaraskan perlaksanaan dasar mengenai aktiviti-aktiviti negeri meliputi
perancangan dan pembangunan, keselamatan, aktiviti-aktiviti Jabatan Kerajaan,
badan-badan Berkanun dan Kuasa-kuasa Tempatan Negeri, perkhidmatan kakitangan,
dan hal ehwal lain dalam negeri.
- VISI - Menjadi
jentera pentadbiran Kerajaan Negeri yang bertaraf global untuk kebajikan
dan kesejahteraan yang berkualiti dan kemakmuran kepada rakyat.
- MISI - Memajukan
penyampaian perkhidmatan Kerajaan melalui transformasi dan inovasi untuk
memenuhi kehendak semua pelanggan dan rakyat.
BAHAGIAN PENGURUSAN MAKLUMAT
- VISI - Membantu kerajaan Negeri Perak mempertingkatkan dan memperkemaskan sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui ICT.
- MISI - Memastikan infrastruktur rangkaian ICT untuk semua jabatan dan agensi kerajaan Negeri Perak berfungsi secara berterusan.Menyokong dan memastikan sistem aplikasi semua jabatan agensi kerajaan Negeri Perak berjalan dengan lancar.
- OBJEKTIF - Memodenisasikan pentadbiran kerajaan dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian pentadbiran Negeri Perak supaya lebih efektif dan efisyen.